Foto Terkini – Atlet basikal paralimpik negara dilanggar lari

Foto Terkini – Atlet basikal paralimpik negara dilanggar lari | ATLET skuad berbasikal paralimpik negara terbabit kemalangan selepas dipercayai dilanggar lari sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kejadian di Kilometer 12.6 Lebuhraya Latar (Kuala Lumpur-Kuala Selangor), di sini, hari ini.

Difahamkan, empat atlet termasuk seorang pengiring yang menaiki sebuah motosikal cedera parah dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, dalam kejadian itu, kemalangan membabitkan empat buah basikal dan sebuah motosikal.

“Berdasarakan maklumat awam, kumpulan itu dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila empat buah basikal dan motosikal terbabit yang datang dari arah Ijok ke arah Rawang menunggang di lorong tengah telah dilanggar Hilux terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dipercaya Hilux itu hendak menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri.

Katanya, bagaimanapun, Hilux telah melarikan diri dari tempat kejadian.

Tambah Ruslan lagi, usaha mengesan kenderaan itu masih diteruskan dan saksi melihat kejadian boleh tampil untuk membantu siasatan.